Thursday, December 6, 2012

Setahun berlalu


Setahun sudah berlalu sejak pemergian Abah menemui Ilahi. Sejak 7 Dis 2011, semua yang dilalui adalah pertama kali - tanpa Abah di sisi.

Sepanjang setahun ini memberikan aku perspektif baru pada kehidupan - bahawa aku ini calon jenazah. Semua yang diusahakan akan aku tinggalkan. Lalu apa yang akan aku bawa ke kuburan nanti. Itulah masa depan dan aku insaf peri pentingnya membentuk zuriat yang soleh sebagai jaminan masa depan.

Pernah aku mengungkapkan ini kepada saudaraku - betapa beruntungnya arwah Abah kerana mendapat anak-anak seperti kita. Yang tidak putus-putus mendoakannya supaya sentiasa mendapat keampunan dan rahmat Allah di alam barzakh sana. Abah dah selesai dengan tugasnya tapi bagaimana dengan kita?


Masa depan ialah masa di mana kita sudah tidak mampu beramal untuk diri sendiri. Masa itu kita tertunggu-tunggu doa dari anak yang soleh. Pastinya aku mengharapkan Sarah, Hajar, Amirul, Ariff dan Hadi akan mendoakan terus-terusan sehingga tibanya hari perhitungan. Itulah keputusan straight As yang menjadi sebenar-benar matlamat dan yang paling selamat. Inilah satu wasiat.

Al Fatihah untuk Abah. Dan aku berdoa semoga Allah mengampuni, merahmati, memberi kesejahteraan dan memaafkannya - abadan abada.


No comments:

Post a Comment