Wednesday, July 21, 2010

The Chronicles of Amirul Hadi 2010


Khamis, 3 Sya'aban 1431. 12.10 p.m. Sepatutnya hari ni cuma checkup rutin tapi doktor nasihatkan supaya terus masuk wad. Kini berada di Wad 102, Hospital Al Islam (KBMC). Tarikh 29 Julai 2010 masih dua minggu kehadapan.

3.10 p.m. Masuk ke OT. Semuanya berlaku begitu pantas. Penantian sembilan bulan berakhir abruptly dan hadirmu sekelip mata. Cuma dua jam di dalam labour room itu.

4.21 p.m. Ya Allah, anugerahkanlah kami dari sisiMu zuriat yang baik sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa. Alhamdulillah, anugerah Ilahi ini kami seisi keluarga terima dengan penuh rasa syukur dan amat gembira. Kakak-kakakmu Sarah dan Hajar dan abang-abangmu Amirul dan Ariff masih dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tidak sabar menanti kehadiranmu, adik lelaki yang baru.
5.15 p.m. Azan dan iqamah seperti suruhan Nabi. Ya Allah berikanlah kami rezeki untuk mengikuti sunnah Nabi - segalanya - dari awalnya hingga akhirnya, zahirnya dan batinnya.

Jumaat, 4 Sya'aban 1431. 12.10 p.m. Dah selesai bersunat, satu lagi sunnah kenabian. Dari corong speaker Masjid Jamek Kampung Baru Sheikh Ali Huzaifi mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran menantikan waktu solat. Lahirnya abangmu Ariff dulu tika azan berkumandang.

4.10 p.m. Tiba masa untuk pulang. Urusan di Al-Islam Specialist Hospital telah selesai.

4.45 p.m. Baby is coming home. Diiringi bacaan doa oleh Atuk dan didahuluhi dengan salam - seperti biasa - sebelum melangkah masuk ke rumah. Uwan yang semakin pulih menanti dengan gembira. Atuk melaksanakan Tahnik dengan kurma dan air zam-zam yang diberkati. Dari Abu Burdah daripada Abu Musa r.a. maksudnya: "Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma."

Isnin, 7 Sya'aban 1431. 12.50 p.m. Abah namakan AMIRUL HADI - Pemimpin bagi mereka yang diberi Petunjuk. Atuk telah diberikan petunjuk sehari sebelum hadirmu.
1.20 p.m. Akaun Tabung Haji dibuka sebagai simpanan dan passport ke tanah suci menziarahi Nabi nanti.
6.45 p.m. Bercukur - Ibn Al Qayyim menyatakan amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu - InsyaAllah.

Selasa, 8 Sya'aban 1431. 8.55 p.m. Telah abah lengkapkan bacaan surah Al Baqarah khas untukmu, sepertimana untuk kakak-kakakmu dan abang-abangmu dulu. Inilah yang terbaik dan terpilih dari amalan sunnah. Tentunya tiada dendangan 'Anakku Amirul Hadi' untukmu melainkan zikir-zikir Indahnya Iman dari 106 Oasis.